Thursday, February 18, 2010

Tun Razak: Jalannya bertongkat, jasanya tiang negara

BAGI generasi lama di kampung-kampung tradisional tepi Sungai Pahang antara Jerantut dan Temerloh, perjalanan dengan bot ke dua buah bandar itu memakan masa yang lama, suatu ketika dulu. Ia adalah kenangan yang tidak dilupai.

Ketika itu hanya kereta api dan bot menjadi alat pengangkutan yang membolehkan penduduk kampung pergi ke bandar untuk segala urusan. Pagi-pagi lagi mereka menunggu bot di jamban (rakit) bagi perjalanan pergi dan dengan bot yang sama, mereka pulang lewat petang. Banyak masa dihabiskan dalam perjalanan.

Begitu juga perjalanan dengan kereta api. Hanya ada satu perkhidmatan dari utara pada waktu pagi dan satu lagi pada waktu petang untuk pergi ke Mentakab. Terdapat hanya satu perkhidmatan pada lewat petang dari selatan ke Jerantut.

Bayangkan jika ada kes-kes kemalangan yang memerlukan rawatan segera, kebiasaannya pesakit menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat ke hospital.

Pada hari ini, penduduk antara Temerloh dan Jerantut boleh ke bandar pada bila-bila masa melalui jalan raya yang siap dibina pada awal 1960-an. Para pelajar sekolah menengah berulang-alik dengan bas dari kampung. Dulu mereka terpaksa tinggal di asrama atau menyewa rumah di bandar.

Generasi lama masih ingat bahawa jalan Temerloh-Jerantut itu dibina atas arahan Tun Abdul Razak semasa Allahyarham menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Ketika itu, penduduk kampung-kampung tradisional itu juga menggunakan Sungai Pahang untuk minum, mandi dan lain-lain keperluan. Di sungai itulah juga mereka melepaskan 'hajat besar' tanpa memikirkan kesan kesihatan kepada penduduk di hilir.

Kini air paip (pili) dan bekalan elektrik disalurkan ke semua kampung. Mereka juga tidak lagi terpaksa berlari ke sungai untuk melepaskan 'hajat besar'.

Jalan-jalan tanah merah yang berdebu pada musim panas dan lecah pada musim hujan juga sudah digantikan dengan jalan tar yang setiap kali Hari Raya Puasa akan membawa pulang anak-anak kampung yang merantau jauh. Berderet kereta di depan rumah ibu bapa kerana anak-anak mereka kini hidup lebih selesa hasil pendidikan yang memberikan peluang kepada mereka untuk maju dalam kehidupan.

Mereka yang tidak berjaya dalam pelajaran boleh menyertai rancangan Felda. Sewaktu rancangan-rancangan Felda mula dibuka dulu, para peserta tinggal di rumah kayu kecil berukuran 12 x 12 meter. Kini tiada lagi rumah-rumah kayu kecil di rancangan-rancangan Felda, yang banyak kelihatan adalah banglo konkrit.

Perkhidmatan kesihatan untuk penduduk luar bandar juga merubah kehidupan. Tiada lagi kanak-kanak yang tidak berbaju, berkudis betis dan berhingus yang berlejeh hingga ke bibir. Jururawat desa yang terlatih mengambil alih peranan bidan kampung.

Senario perubahan yang berlaku bukan sahaja terhad di sekitar negeri Pahang, tetapi akhirnya menyeluruh hingga ke Sabah dan Sarawak.

Segalanya hasil idea dan perancangan teliti Tun Abdul Razak Datuk Hussain, Perdana Menteri kedua yang dilahirkan di Pekan, Pahang. Memang tepat Allahyarham diberi gelaran Bapa Pembangunan Malaysia. Apa jua kemajuan fizikal yang rakyat Malaysia nikmati pada hari ini kebanyakannya adalah hasil buah fikiran dan dedikasi kerja Allahyarham.

Beliau meletakkan banyak asas yang telah memudahkan kerja pemimpin-pemimpin selepasnya. Kerangka dasar yang diasaskannya bukan sahaja berkisar kepada pembangunan fizikal, tetapi bersifat sangat holistik meliputi bidang politik dan dasar luar, selain sosio-ekonomi dan pendidikan. Sebahagian besar dasar-dasar tersebut berkesinambungan hingga ke hari ini.

Bagi generasi yang lahir sebelum 1960-an, wajah seorang pemimpin yang bertongkat dan sering melawat kampung walaupun ketika beliau sudah kurang sihat kerana penyakit leukemia, menjadi kenangan yang abadi seiring dengan jasa-jasanya untuk membangunkan negara Malaysia.

Razak dengan tongkat yang tidak pernah lepas dari tangannya menemui rakyat di seluruh ceruk untuk memastikan pembangunan dirancang sampai kepada mereka. Tanpa jemu, beliau tidak pernah lari daripada fokus utamanya membasmi kemiskinan, kejahilan dan meningkatkan taraf kesihatan terutama di kalangan penduduk luar bandar.

Walaupun namanya lebih sinonim dengan pembangunan, namun peranan beliau dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama juga cukup besar.

Beliau meletakkan asas perpaduan kaum melalui Penyata Razak (1956) untuk memenuhi harapan sebilangan besar rakyat bagi membentuk bangsa merdeka beridentitikan Malaya dan membentuk Dasar Pelajaran Kebangsaan yang diterima seluruh rakyat. Dasar itu perlu bagi memenuhi hasrat meningkatkan pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik sebagai suatu bangsa dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa mengetepikan pertumbuhan bahasa dan kebudayaan kaum lain.

Penyata Razak 1956 adalah polisi yang radikal dalam usaha membawa perubahan besar bagi sekolah dengan matlamat utama untuk menyatupadukan rakyat. Antara perkara dalam penyata itu mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dengan bahasa Melayu sebagai pengantar dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) yang menggunakan Kuo-Yu, Tamil dan Inggeris sebagai pengantarnya.

Namun, bahasa Melayu buat pertama kali diajar di semua SRJK. Ini proses untuk mendaulatkannya sebagai bahasa kebangsaan. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ia menetapkan kandungan pelajaran sama di semua peringkat sekolah untuk menyemai semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid pelbagai kaum. Semangat inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga membangunkan negara.

Beliau sampai ke puncak karier politiknya apabila mengambil alih pemerintahan negara dalam keadaan darurat, menjadi Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran), menggantung Parlimen, mengharamkan perbincangan isu sensitif dan menerapkan kesetiaan rakyat melalui Rukun Negara.

Beliau mengambil tanggungjawab memulihkan semangat dan keyakinan bangsa yang pudar akibat tragedi 13 Mei 1969 dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), mengembalikan demokrasi berparlimen dan menambah bilangan ahli parti dan menjana perpaduan untuk membentuk ketahanan nasional serta kestabilan politik melalui penubuhan Barisan Nasional (BN).

Sayangnya perkhidmatan Tun Razak tidak berpanjangan apabila penyakit leukemianya bertambah tenat. Allahyarham meninggal dunia ketika sedang dirawat di London pada 14 Januari 1976.

Bagaimanapun dalam tempoh yang singkat kira-kira lima tahun sebagai Perdana Menteri kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra pada 22 September 1971, beliau telah meninggalkan jasa yang terlalu banyak untuk dihitung. Di bawah kepemimpinan Tun Razak, negara bukan saja memperlihatkan dasar ekonomi dan sosial yang radikal dengan memperkenalkan DEB, bahkan dasar luar negara juga semakin progresif, keluar daripada bayangan pro-Barat, bebas serta berkecuali.

Dalam menangani ancaman komunis, Tun Razak melangkah kaki ke China sebagai pemimpin Asia Tenggara pertama merintis hubungan diplomatik dengan negara komunis itu pada Mei 1974. Ketika itu masih tidak banyak negara demokrasi yang menjalin hubungan diplomatik dengan China yang dicurigai oleh Barat dan sekutu-sekutunya.

Langkah Tun Razak itu membuatkan para pemimpin China berasa amat terhutang budi kepada Malaysia hingga ke hari ini. Ia bukan sahaja memudahkan pasukan keselamatan Malaysia memerangi dan akhirnya menamatkan ancaman keganasan Parti Komunis Malaya (PKM), malah memberikan impak besar kepada negara di bidang ekonomi.

Komoditi utama Malaysia, minyak kelapa sawit yang dijadikan tanaman utama negara bermula dari zaman Tun Razak, hari ini sebahagian besarnya dieksport ke China, negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia.

Tun Razak dengan kebijaksanaan diplomasi dan dasar luar negaranya juga telah menjadikan suara Malaysia didengari kuasa besar dunia hingga ke persada antarabangsa. Terlalu banyak boleh diperkatakan mengenai jasa Tun Razak terhadap pembangunan ekonomi, politik dan sosial negara. Hakikatnya, segala nikmat kemajuan dikecapi hari ini adalah hasil denyutan pembangunan yang dirintis oleh beliau.

Tanpa usaha membangunkan kawasan luar bandar, infrastruktur, badan-badan yang diberi mandat memacu pembangunan seperti Felda, Felcra, Pertubuhan Peladang, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), DEB, Perbadanan Nasional (Pernas), Penerbangan Malaysia (MAS), Petronas, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Institut Teknologi Mara (ITM), Bank Bumiputera, Mageran dan Rukun Negara, maka tidak akan ada kekuatan ilmu dan profesionalisme yang dapat menegakkan perpaduan, kestabilan, keyakinan diri dan daya saing yang mampu membina maruah negara.

Kita mungkin sudah kehilangan Tun Razak, tetapi percayalah beliau tidak pernah jauh meninggalkan kita kerana semangat juang negarawan ulung ini tidak pernah padam.

Dipetik dari Utusan Malaysia 19Feb 2010


* Al- fatihah untuk Tun....Antara pemimpin Melayu Islam yg aku kagum adalah Tun Abdul Razak... Lihatlah sumbangannya kpd negara... tak terhitung jasa beliau pada nusa & bangsa.. Lahirnya manusia yg begini adalah 1 anugerah dari Allah untuk bangsa Melayu & rakyat Malaysia... Benarlah kata pepatah Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama... ada 1 persamaan aku dengan Tun... Kita org sama2 lahir kat Pekan, Pahang... Tun lahir kat Pulau Keladi, Pekan... Aku???? lahir kat Kg Marhum, Pekan...

* Blog aku ni khas aku buat untuk cerita manusia yang berjuang dan berjaya dalam hidupnya, kisah perjuangan, kisah kehidupan dan mcm2 cerita/ artikel YANG MENARIK PERHATIAN AKU... bukan POLITIK..

* Terima kasih TUN sekali lagi...


No comments:

Post a Comment