Thursday, May 20, 2010

Usahawan Melayu disaran menilai diri sendiri

Rencana Utusan Melayu


REPUTASI diri adalah penting. Reputusi bergantung kepada amanah dan komitmen seseorang. Dalam ucapan perasmian Konvensyen Usahawan Melayu 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan usahawan Melayu perlu meningkatkan ilmu pengetahuan kerana dunia hari ini bukan lagi berlandaskan "technical know who" tetapi "technical know how".

Mereka yang mengharapkan pembahagian projek dan kontrak kerana hubungan dan bukan pengetahuan kena menerima perubahan bahawa di bawah Model Ekonomi Baru (MEB) atau Model Baru Ekonomi bantuan kerajaan hanya akan diberi kepada yang layak.

Najib tidak mahu lagi mendengar cerita mereka yang masih memohon Permit Import (AP) walaupun AP sudah diberhentikan. Beliau tidak mahu lagi mendengar kegagalan kontraktor seperti yang berlaku dengan pemasangan makmal komputer dulu.

MEB mengambil kira keperluan, mesra pasaran dan merit.

Pada waktu yang sama dalam pembentangan Ketua Eksekutif ISIS, Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin mengajak usahawan Melayu melihat profil orang Melayu sekarang. Ada golongan yang jadi jutawan, ada golongan yang 'global', ada rumah di London, ramai orang Melayu dalam golongan menengah, mampu menghantar anak sekolah private, ada yang ada pekerjaan tetapi jawatan tertinggi masih lagi dikuasai oleh bangsa lain.

Orang Melayu tidak ramai yang mempunyai kemahiran, 80 peratus lulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Orang Melayu perlu prihatin tentang kewujudan urban poor atau kemiskinan bandar.

Jurang antara orang Melayu yang kaya dengan yang miskin semakin meluas. Daripada bahagian bawah 40 peratus yang berpendapatan RM1,500 ke bawah, 80 peratus dikatakan terdiri daripada orang Melayu.

Persoalannya apakah yang harus dilakukan dengan profil orang Melayu yang sebegini rupa supaya jangan sampai orang lain "take away your lunch on your plate" kata Dr.Noraesah, pengerusi sesi pembentangan tersebut. Maknanya jangan sampai makanan dalam pinggan kita dirampas orang lain.

MEB mestilah meneruskan dasar Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Bumiputera yang mengandungi 11 kluster dalam pelbagai bidang seperti yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Ini melibatkan dana, program latihan, idea dan insentif.

Pembangunan ekonomi Bumiputera mesti dijadikan NKRA setiap kementerian dan agensi, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini sewajarnya menjadi tanggungjawab Ketua Setiausaha masing-masing dan CEO GLC. Untuk mengetahui kemajuan, penilaian tahunan wajib dilakukan.

Salah satu perkara penting yang kerap dibangkitkan dan juga menjadi salah satu soalan yang dibangkitkan oleh Profesor Dr. Mohamed Mustafa Ishak daripada Universiti Utara Malaysia di konvensyen tersebut ialah di mana silapnya sistem pendidikan kita sehinggakan ramai graduan kita menganggur.

Dr. Mahani dalam jawapan beliau mengatakan wujud penempuan yang berlebihan kepada universiti dan institusi pengajian tinggi dalam bentuk peruntukan sedangkan di peringkat sekolah rendah dan menengah masih mengalami keadaan yang begitu daif.

Asas pendidikan berlaku di peringkat rendah sebagai asas kepada pengajian lanjutan ke universiti. Sekarang sudah ada dua aliran, bahasa kebangsaan di IPTA dan bahasa Inggeris di IPTS. Apa yang berlaku ialah pihak swasta lebih gemar mengambil graduan yang mengikuti aliran Inggeris.

Pelajar kita juga perlu dibentuk supaya mampu berfikir dan bukan semata-mata memuntahkan sahaja apa yang diterima daripada kuliah dan pensyarah.

Dari segi ini dua perkara penting perlu diketengahkan iaitu isi dan proses. Kita kerap dilambakan sejak di sekolah rendah dengan isi. Apa jua mata pelajaran, kita diberikan kandungan subjek tersebut, sedangkan aspek proses yang lebih penting untuk mengendalikan kehidupan kita tidak disentuh langsung daripada sekolah rendah sehingga universiti.

Walaupun mereka yang lulus dengan pangkat dan gred yang cemerlang, malangnya mereka hanya cermin kepada orang yang mampu mengeluarkan apa yang diterima semasa peperiksaan.

Datuk Mahani menyarankan pelajar kita perlu menguasai pelbagai bahasa supaya mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menyentuh tentang pembangunan modal insan ini, penekanan kemahiran dan keusahawanan sejak dibangku sekolah sehingga di IPT diperlukan. Universti Tun Razak misalnya mempunyai fakulti khas dalam bidang keusahawanan dan mempunyai program bersama dengan universiti terbaik di dunia dalam bidang keusahawanan iaitu Bobson University, Amerika Syarikat.

Penekanan kepada high exchange value courses sebagai bidang wajib kepada mahasiswa yang mengambil bidang sains sosial, kemanusiaan dan pengajian Islam.

Usaha untuk memperkasakan bidang vokasional dengan kerjasama swasta diperlukan untuk faedah anak-anak muda yang mungkin selepas peperiksaan SPM merayau tidak ke mana-mana.

Banyak lagi langkah-langkah yang perlu dilakukan sebagai mengatur strategi untuk meningkatkan taraf usahawan Melayu dan orang Melayu di buminya sendiri.

Janganlah sampai yang melaksana lupa akan tanggungjawab mereka.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Saturday, May 1, 2010

Sasaran jualan usahawan Felda RM1b

TEMERLOH 1 Mei - Felda menyasarkan pendapatan hasil jualan produk yang dikeluarkan oleh usahawannya melebihi RM1 bilion pada tahun ini.

Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Abidin Abdul Rahman berkata, sasaran itu adalah realistik dan mampu dicapai memandangkan pendapatan hasil jualan daripada 36,635 usahawan peneroka Felda sepanjang tahun lalu bernilai lebih RM900 juta.

Katanya, Felda akan berusaha dan membantu meningkatkan bilangan usahawan Felda setiap tahun terutama melahirkan usahawan di kalangan generasi kedua.
''Untuk menjadi usahawan berjaya, kita perlu mengubah sikap dan membina rangkaian dengan rakan-rakan niaga bukan peneroka dan jangan hanya duduk dalam kalangan kelompok kita.

''Di luar sana terdapat pelbagai potensi pasaran yang lebih besar dan kita mahu produk keluaran usahawan peneroka menembusi pasaran antarabangsa dan pasar raya besar di seluruh negara," katanya.

Beliau berucap pada majlis penutupan Simposium Expo Usahawan (SIMEX) 2010 Felda Wilayah Mempaga di Dewan Tun Razak di sini hari ini.
SIMEX yang berlangsung selama tiga hari itu turut dihadiri Pengurus Felda Wilayah Mempaga, Jainal Jahaya.

Menurut Abidin, Usahawan Felda tidak perlu takut atau malu untuk mempromosikan produk keluaran mereka kerana ramai daripada mereka kini berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa. Malah, katanya, kerepek ubi kayu yang diusahakan oleh usahawan dari Felda Kumai, Mempaga berjaya menembusi pasaran di Dubai.

Abidin memberitahu, ramai anak peneroka yang tinggal di bandar besar berjaya sebagai ahli perniagaan dalam dunia korporat, malah ada yang mempunyai syarikat perkapalan sendiri.
Sehubungan itu, kata beliau, Felda akan menjadikan usahawan dan ahli perniagaan daripada anak peneroka sebagai ikon bagi merangsangkan lagi semangat untuk bersaing dengan usahawan kaum lain.

''Kita mahu usahawan Felda duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi," jelasnya.
Beliau sendiri menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak yang memperakui kualiti hasil produk usahawan peneroka terutama makanan ringan.
''Pihak pengurusan pasar raya besar turut berminat untuk membantu memasarkan produk berkenaan di tempat mereka," katanya.

alhamdulilah ku pnjatkan kepada Allah atas nikmat kurniaanya.... 1 biliion??? ishh byak tu... semoga warga Felda mkin maju n terus maju.... tingkatkan lg pernigaan anda.. jgn lupa banti IKS Felda yg bru bertapak dan sdang bertapak.... ni semua kejayaan besay yg perlukan bukan 1 tahun tapi berpuluh puluh tahun untuk mencapainya... khas wat generasi kedua felda... oittt jgn lupa watlah satu untuk FELDA kita nie... kerajaan dah byk beri jalan.. kita pula jgn lupa ikut jalan demi manfaat bersama... pihak pengurusan FELDA jgn lupa kat anak- anak muda FELDA masih ramai yang terkial-kial perlukan pertolongan.... INsyaALLah denagn izin Allah swt.. FELDA ke arah GLOBAL... sbgai satu agensi hartanah yang TERUNGGUL di DUNIA ini... AKU BANGGA DENGAN MU !!!!!!! Amin.

Friday, April 30, 2010

Melayu kena diberi kesedaran

Melayu kena diberi kesedaran




NAIB Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, tidak malu mengaku yang beliau berasal dari keluarga miskin. Dilahirkan dan dibesarkan pula di tengah-tengah masyarakat Cina yang menguasai ekonomi dan politik di Pulau Pinang, perasaan insafnya terhadap nasib orang Melayu cukup mendalam.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MARHAINI KAMARUDDIN dan YAZID ALIAS serta jurugambar SHAHARANI SAIBI di pejabatnya di kampus Shah Alam, Isnin lepas, Dr. Sahol secara jujur berkongsi misinya untuk menyelamatkan masa depan anak Melayu.

Sebagai orang yang bertanggungjawab memimpin 140,000 pelajar UiTM, beliau merasakan perlu memberi kesedaran kepada mereka tentang hak yang perlu diperjuang dan dipertahankan dalam keadaan perpecahan orang Melayu cukup merunsingkan.

“Kalau selepas bercakap (memberi penjelasan) macam ini pun orang Melayu masih tak faham, masih tak sedar, kita memang menuju ke arah kehancuran,” katanya.

UTUSAN: UiTM ditubuhkan dengan objektif membantu orang Melayu terutamanya pelajar miskin luar bandar dengan memberikan ruang untuk mereka melanjutkan pelajaran. Bagaimana Datuk melihat peranan yang dimainkan UiTM itu, adakah masih sama, sudah berubah atau perlu ada penambahbaikan?

SAHOL HAMID: Peranan UiTM adalah untuk memartabatkan bangsa Melayu, memberi pendidikan kepada anak-anak Melayu dan bumiputera. Peranan UiTM juga adalah untuk pastikan graduan mendapat peluang kerja yang baik, mewujudkan keusahawanan orang Melayu dan meninggikan sosioekonomi bangsa ini di bandar dan luar bandar. Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh UiTM. Ia bermula pada tahun 1950-an sebagai institusi untuk membantu pelajar luar bandar berdasarkan perjuangan tokoh masa itu iaitu para pemimpin UMNO. Ini sejarah yang tidak boleh kita lupakan. Ia kemudiannya diangkat sebagai sebuah institut pada 1970-an sehingga menjadi sebuah universiti pada 1990-an.

Kini genap 54 tahun penubuhannya, UiTM telah mantap, dikenali di dalam dan luar negara manakala ramai rakyat telah faham peranan UiTM.

Sehingga kini, UiTM telah mengeluarkan 400,000 graduan dan ia semakin hari semakin berkembang dengan sasaran pengambilan 200,000 orang pelajar menjelang tahun 2015.

Kita berusaha untuk pertingkatkan lagi UiTM ke peringkat yang lebih tinggi. Akan tetapi UiTM tidak melupakan asal usul dan asas penubuhannya. Sekarang, selepas saya mengambil alih peranan sebagai Naib Canselor universiti ini, saya akan usahakan supaya peranan UiTM yang dahulu diteruskan untuk membantu pelajar miskin dalam bandar dan luar bandar. Kita akan letakkan UiTM di persada dunia dan menaikkan orang Melayu di mata dunia. Usaha ini akan dilakukan secara berterusan dan insya-Allah, tidak lama lagi UiTM akan dikenali sebagai sebuah universiti penyelidikan dan sebagainya.

Adakah UiTM kini terlalu menumpukan soal komersial sehingga mengabaikan asas penubuhannya untuk membantu Melayu?

Kalau nak kata UiTM menumpukan soal komersial dalam pengambilan pelajar sebenarnya tidak, UiTM adalah sebuah institusi yang mantap dan meningkatkan prestasi akademik yang tinggi. UiTM terpaksa menjadi sebuah universiti dan sudah tentu melibatkan dari segi keputusan pelajar. Kalau UiTM mahu bersaing dengan universiti-universiti lain, ia perlu memenuhi syarat badan-badan profesional termasuk bagaimana keputusan pelajar yang diterima masuk. Sungguhpun begitu sejak kebelakangan ini, kajian kita mendapati kemasukan pelajar berdasarkan merit dan persaingan semata-mata telah mewujudkan ketidakseimbangan.

Contohnya, daripada 20,000 pelajar yang diterima masuk, 70 peratus daripadanya perempuan, tinggal di kawasan bandar dan mendapat pendidikan di sekolah berasrama.

Sekiranya keadaan ini dibiarkan, bermakna kita tergelincir daripada matlamat asal (penubuhan UiTM) kerana begitu ramai pelajar luar bandar tidak mendapat tempat, yang kebanyakan mereka juga ialah pelajar lelaki.

Saya khuatir, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun, kita mungkin menghadapi masalah sosial ekoran keadaan ini. Memandangkan bilangan golongan wanita Melayu terpelajar dan berkedudukan tinggi semakin ramai, kalangan yang tidak berkahwin juga akan bertambah. Maka zuriat daripada orang Melayu akan berkurang. Apabila kurangnya zuriat daripada kalangan anak Melayu, ia boleh menyebabkan populasi orang Melayu menurun sehingga mungkin menjadi minoriti di negara sendiri.

Ini kerana, keadaan itu wujud akibat perbezaan taraf pendidikan dan sosial terutama kurangnya tempat dan peluang pendidikan kepada pelajar lelaki Melayu. Kemungkinan besar keadaan ini boleh berlaku sehingga menyebabkan anak-anak lelaki Melayu terjebak dengan gejala sosial seperti jenayah dan kegiatan antisosial gara-gara mereka tidak diberi tempat untuk melanjutkan pelajaran.

Jadi sebagai sebuah institusi yang pentingkan masa depan anak bangsanya, UiTM merasakan perlu bertindak mengadakan program dan perancangan bagi menangani keadaan ini.

Maka sebab itulah kita mulakan apa yang dikenali sebagai Program Mengubah Destini Anak Bangsa. Program ini diadakan untuk membawa kita kembali kepada asal usul penubuhan universiti ini dengan memberi peluang pendidikan kepada anak-anak miskin Melayu dan bumiputera luar bandar, juga di bandar. Ini kerana kita cukup insaf, para pelajar ini mendapat keputusan rendah, bukan kerana tidak pandai atau tidak bijak, tetapi faktor persekitaran yang mempengaruhi mereka. Ini termasuk kemiskinan, guru-guru tidak mencukupi selain keadaan yang tidak mengizinkan mereka belajar.

Walaupun UiTM menerima 20,000 pelajar berdasarkan merit persaingan, kita akan sediakan 5,000 tempat khas untuk golongan anak miskin Melayu yang saya sebutkan tadi dengan 80 peratus daripadanya lelaki. Kita hendak supaya wujud pengimbangan yang sesuai agar anak-anak Melayu sekali lagi mendapat pendidikan yang tinggi. Pada masa sama, kita mahu mereka mendekati antara satu sama lain dan mungkin berkahwin sesama mereka dan dengan cara ini, kita dapat melahirkan anak bangsa yang lebih cerdik dan terdidik dengan sempurna.

Pelaksanaan Program Mengubah Destini Anak Bangsa dengan memberikan 80 peratus daripada 5,000 tempat kepada pelajar lelaki mungkin akan mengundang kritikan bahawa UiTM mengamalkan diskriminasi gender?

Tidak. Kita sudah membuka 70 peratus kemasukan perdana (besar-besaran) itu kepada perempuan dan lelaki. Apa yang kita mahu lakukan adalah pengimbangan pelajar, kita tak diskriminasi. 80 peratus daripada 5,000 tempat khas pelajar miskin itu hanyalah kadar yang kecil.

Apa yang penting, sebarang usaha untuk kebaikan orang Melayu tidak seharusnya anggap diskriminasi. Kalau kita anggap ia diskriminasi, bagaimana untuk menjayakan usaha menyelamatkan bangsa, meninggikan taraf mereka selain membawa pengimbangan dalam peluang pendidikan di kalangan bangsa ini.

Kita tidak mahu 20 tahun dari sekarang, kita menyesal kerana tidak memikirkan nasib bangsa sendiri daripada sekarang. Kita akan mulakan Julai ini dengan melaksanakan pengambilan 5,000 pelajar Melayu miskin di seluruh negara.

Apakah kaedah yang akan dijalankan oleh UiTM untuk melaksanakan program ini?

Pelajar tidak perlu mohon secara online, mereka cuma perlu fotostat keputusan SPM dan kad pengenalan mereka sahaja.

Di Kedah, Kelantan dan beberapa negeri, kita cari pelajar-pelajar ini, kita pergi dari rumah ke rumah untuk mengenal pasti keadaan kemiskinan keluarga dan kita akan tawarkan tempat kepada mereka yang layak. Malah, UiTM akan beri tempat tinggal, makan dan elaun kepada mereka yang terpilih. Kalau boleh saya tidak mahu ada seorang pun anak Melayu yang pandai dan boleh belajar, dinafikan tempat untuk mendapat pendidikan kerana dia miskin atau tak cukup syarat.

Apa yang penting ialah pelajar itu ada kemampuan untuk belajar dan kita akan beri peluang kedua ini untuk mereka mengubah destini diri dan keluarganya.

Cuba bayangkan, kalau satu semester kita boleh bagi 5,000 tempat, dalam tempoh satu tahun kita boleh sediakan 10,000 tempat untuk anak Melayu belajar. Dalam tempoh lima tahun, seramai 50,000 keluarga orang Melayu akan dapat diberi peluang belajar untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Program ini kalau dijalankan dengan baik boleh menghapuskan kemiskinan di kalangan orang Melayu. Inilah tujuan utama program ini.

Kita hendak menghapuskan kemiskinan di kalangan orang Melayu dan melahirkan lebih ramai pelajar Melayu yang berkemahiran dan berkemampuan mendapat kerja di pasaran.

Pada masa yang sama, UiTM juga sedia mengubah beberapa polisi agar apabila pelajar ini menamatkan pengajian, boleh keluar contohnya sebagai graduan Diploma Perakaunan yang memiliki ijazah dalam bidang undang-undang.

Malah, pelajar yang ada ijazah dalam bidang kejuruteraan boleh melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan atau akauntan. Kita akan tawarkan program canggih dan futuristik yang akan meningkatkan taraf kebolehpasaran mereka.

Kita mahu, apabila pergi temu duga, pelajar UiTM yang diterima dahulu, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta kerana nilai tambah yang ada pada mereka termasuk sokongan bahasa Inggeris dan keusahawanan, yang telah dilengkapkan oleh UiTM.

Salah satu elemen budaya Melayu adalah tulisan jawi. Namun ramai kalangan Melayu sendiri semakin menjauhi tulisan itu. Apa peranan UiTM dalam hal ini?

Saya sedar ramai pelajar lupa tentang tulisan jawi. Identiti satu bangsa itu adalah melalui tulisan dan percakapan. Jadi kalau tak pandai tulis jawi, pelajar itu dilihat kurang dari segi 'kemelayuannya'.

Sebab itu kita mahu tekankan kepentingan jawi di kalangan pelajar Melayu. Kita kena wujudkan kesedaran penulisan jawi sebagai budaya yang tidak harus dipandang mudah.

Pelajar Melayu perlu digalakkan dengan membaca surat khabar, buku dan majalah dalam tulisan itu. Ini kerana, saya rasa sekarang hampir separuh pelajar tidak tahu membaca dan menulis jawi. Kalau dibiarkan, kita akan hilangkan 'kemelayuan ' dalam diri mereka.

Datuk kurang berkenan dengan program matrikulasi. Boleh jelaskan apakah sebabnya?

Pada pandangan saya, program matrikulasi banyak merugikan orang Melayu. Pengambilan pelajar hampir 30,000 orang untuk mengikuti program ini sehingga memakan sumber kewangan yang banyak, adalah tidak sepatutnya. Ini kerana ia masih tidak menjamin tempat di universiti dan kursus yang pelajar berkenaan minati.

Bagi yang lulus (matrikulasi) boleh meneruskan pengajian tetapi yang gagal, mereka ini akan kecewa dan telah membazirkan masa dua tahun tanpa mendapat apa-apa. Sedangkan para pelajar terbabit asalnya dari kalangan yang cemerlang dalam SPM.

Jadi apa alternatif Datuk cadangkan?

Bagi saya, adalah lebih untung jika para pelajar ini mengikuti kursus peringkat diploma sebab dalam tempoh tiga tahun, mereka sudah mendapat sijil sama ada untuk mencari pekerjaan atau meneruskan pengajian ke peringkat ijazah pula. Tambahan pula dengan adanya program multi disiplin yang ditawarkan UiTM, mereka ini akan keluar sebagai graduan terlatih dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, bahasa Inggeris dan lain-lain.

Berbanding program matrikulasi, mereka perlu mengikutinya selama dua tahun, barulah pelajar ini akan ditentukan pula pengajian peringkat ijazah. Itu pun ia belum dijamin.

Ini satu pembaziran masa, sedangkan kalau diberi peluang mengambil diploma, mereka boleh memilih bidang yang hendak diceburi dari awal-awal lagi dan menghabiskan pengajian dengan cepat.

Adakah ini bermakna program matrikulasi tidak lagi relevan pada masa ini?

Saya tidak mengatakan bahawa program matrikulasi itu perlu ditutup, tetapi kurangkan pengambilan pelajar dan pastikan mereka yang diambil betul-betul dijamin tempatnya di universiti dan mendapat kursus yang mereka minati. Kebanyakan mereka tidak mendapat tempat di universiti yang mereka idamkan dan kecewa kerana tidak berminat dengan jurusan yang diberi. Kesannya, apabila bekerja, mereka tidak berminat dan keadaan ini sudah pasti merugikan anak Melayu.

Jadi kita bandingkan kebaikan matrikulasi dengan diploma. Kalau jelas diploma membawa kebaikan, kenapa perlu terlalu ramai pengambilan dalam matrikulasi? Justeru kajian semula program matrikulasi perlu diadakan bagi melihat kesannya secara menyeluruh termasuk dari segi penambahan pelajar.

Bukankah penubuhan matrikulasi itu bertujuan memberi peluang kepada lepasan SPM untuk mendapat tempat di pusat pengajian tinggi?

Ya, tetapi janganlah pengambilan itu terlalu ramai sehingga ramai juga yang tercicir. Saya tidak boleh melihat pelajar Melayu tercicir. Kalau mereka ini tercicir, universiti mana yang akan menerima mereka? Paling menyedihkan, mereka terpaksa menggunakan semula slip SPM untuk memohon memasuki institusi pengajian lain, sekiranya tidak mencapai keputusan yang baik di peringkat matrikulasi.

Mungkin ramai yang marah dengan pandangan Datuk ini dan tidak kurang yang melihat sebagai usaha mempromosi UiTM?

Saya tahu perkara ini kalau saya suarakan ramai yang marah, tapi saya kena bersuara kerana tidak mahu dianggap sebagai 'pengkhianat' dalam usaha menjamin masa depan yang baik kepada anak-anak Melayu.

Lagipun, program diploma UiTM adalah sub-profesional dan negara kita memang memerlukan ramai pekerja sub-profesional. Ia satu opsyen yang lebih sesuai untuk kepentingan orang Melayu.

Selain itu, saya juga mendapat maklumat ramai ibu bapa menganggap satu paksaan apabila anak-anak masuk matrikulasi, mereka tidak dibenarkan mengambil diploma. Bagi saya, pelajar perlu ada kebebasan untuk memilih apa juga bidang yang diminati mereka untuk belajar.

UiTM sendiri mempunyai Program Persediaan Pelajar bagi mereka yang hendak melanjutkan pengajian ke luar negara.

Ini berbeza daripada matrikulasi kerana di bawah PPP, kita hantar semua pelajar ini melanjutkan pengajian mereka ke universiti luar negara. Mereka yang tidak mendapat tempat di luar negara, kita masukkan ke UiTM. Malangnya bagi pelajar matrikulasi yang gagal, mereka ini tidak tahu hendak ke mana.

Adakah UiTM sanggup menerima mereka?

Saya sanggup. Kita mahu beri tempat kerana mereka mempunyai keputusan yang baik di peringkat SPM dulu. Tujuan kita bukan untuk mengurangkan taraf UiTM dengan mengambil pelajar yang mendapat kelulusan rendah, tapi hanya untuk martabatkan pelajar Melayu dan memastikan pelajar matrikulasi tidak terabai.

Cuma kita tidak dapat tawarkan program di peringkat ijazah tetapi diploma dengan pengurangan kredit mata pelajaran.

Kalau kita boleh bantu, kita bantu. Akan tetapi kalau ada satu dasar baru untuk menyelamatkan pelajar ini, saya lagi gembira.


# satu artikel yg menarik perlu dibaca....

Friday, March 5, 2010

Kehebatan dan kebijaksanaan yahudi


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kata-katanya ini adalah bertepatan dengan hadis Rasullulah:

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil."


Antara 'barangan mereka' yang telah dijadikan ikutan oleh kebanyakan dari kita.


1. Kita diajar dalam buku biologi, buku pemakanan (kajian dan terbitan para kafir ni) bahawa kalau nak dapat vitamin B dan kalau nak tambah darah kita kena makan hati haiwan dan hati ayam. tetapi sebenarnya Nabi kita tidak menggalakkan pemakanan organ dalaman. Nak ikut kafir ke nak ikut nabi kita? Sebenarnya makan hati ayam dapat melembabkan otak kita sbb hati merupakan organ dimana semua toksin akan dikumpulkan dan dineutralkan. so kepekatan toksin adalah tinggi di hati ayam. makanlah kita toksin tersebut serta bengaplah otak kita umat Islam sebab percaya buku sains keluaran kafir ini.

2. Kita diajar dalam sains bahawa kopi tidak bagus untuk kesihatan. Namun sebenarnya kopi adalah antara minuman kegemaran Nabi kita selain susu dan madu. Cuba tengok Yahudi, mereka minum kopi, Starbuck. Profesor di UK yang Yahudi semua ada segelas kopi di tangan mereka.

3. Kita diajar memakan kambing tinggi kolesterol, namun kambing juga adalah makanan Nabi kita. Seolah-olah buku sains ni nak merendahkan pemakanan Nabi kita. Sebenarnya daging kambing adalah daging paling kurang kolesterol.

4. Kita diajar bahawa makan McDonalds adalah bagus, namun sebenarnya McDonalds adalah makanan yang sangat tinggi MSG dan kolesterolnya dan paling banyak lemak tepu trans.

5. Para kafir ni juga menggalakkan kita minum dan makan makanan yang langsung tak berkhasiat, contohnya coke dan maggi. Coke tu sangatlah beracun, pastu sangat tidak bagus untuk kesihatan (gula tinggi, berasid, pH dalam lingkungan 3.5, ada racun tersembunyi). Dan para Melayu kita juga yang ketagih minum.

6. Untuk pengetahuan, para kafir agen dajjal ni gak mengwar-warkan kebaikan minum soya (sebab USA merupakan pengeluar soya terbesar), namun sebenarnya soya dapat melemahkan kejantanan lelaki dan mengurangkan kesuburan lelaki dan perempuan. selain itu juga soya dapat meningkatkan risiko kanser payudara, kanser ovari, kanser prostat, serta melemahkan otak dan tulang sbb dalam soya ada hormon estrogen yang sama dgn estrogen kat wanita. pastu soya ada phytic acd yang membuatkan penyerapan kalsium, magnesium dan zinc yang penting untuk badan kita terjejas.

* aku amik dari blog owg lain... baca , pham dan pkirkan..
Paan...

Saturday, February 27, 2010

Lemah BI, suka tukar kerja jadi punca


27/02/2010 8:31pm

KUALA TERENGGANU 27 Feb. – Kajian Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendapati siswazah yang suka bertukar kerja dan lemah dalam bahasa Inggeris (BI) dan kemahiran berkomunikasi merupakan antara punca utama kepada masalah pengangguran di kalangan siswazah di negara ini.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, masalah itu juga termasuk kurangnya latihan industri, kemahiran menyelesaikan masalah dan kurangnya keyakinan diri.

"Ini adalah lima masalah utama yang dihadapi majikan apabila berhadapan dengan siswazah yang baru menamatkan pengajian mereka. Jawapan mengapa siswazah menganggur adalah kerana kelemahan dan kekurangan pelajar itu sendiri.

"Ini kerana siswazah gagal meyakinkan para majikan untuk diambil bekerja dalam organisasi mereka,” katanya dalam ucapan penutup Program Etiket Siswa 2010 yang berlangsung selama dua hari di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini.

Beliau berkata, faktor sikap siswazah yang memilih pekerjaan dan lebih cenderung untuk bekerja di tempat kelahiran juga menjadi punca pengangguran. – Bernama

Rujukan: Kosmo Online

Friday, February 19, 2010

Allah Selamatkan Saya Ketika Derita

Duit RM1.00 di telapak tangan, saya genggam kemas. Untuk membeli minuman pun belum tentu lepas. Kebetulan malam itu saya sangat-sangat lapar. Lalu tanpa hala tuju yang jelas, saya singgah sebentar di sebuah surau berdekatan rumah sewa untuk menunaikan solat isyak.

Tahun itu 1998, ketika saya masih bujang. "Apalah yang boleh dibuat dengan duit ini...?" kata hati, sambil tangan terus memasukkan wang itu tadi ke tabung surau. Ya, lebih baik bersedekah dan belajarlah bersabar menahan sengsara.

Cuba-cubalah selami, orang yang tak punya harta, kata naluri kecil. Bayangkanlah perasaan bila menatap wajah si kecil yang sentiasa menanti kepulangan ayah bonda dengan buah tangan, aneka kuih, lauk pauk atau alas perut yang sebenarnya tidak pernah kunjung tiba dan hanya mimpi semata-mata.

Teringat sebuah rancangan televisyen, ketika wartawan menemubual seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, daripada keluarga susah dan daif. "Jika ada duit, adik nak makan apa?" tanya wartawan wanita itu tentang hasrat dan cita-cita sikecil itu jika punya cukup belanja. "Roti canai..." jawab kanak-kanak ini tersekat-sekat dengan wajah yang menunduk malu.

Pilu rasanya, bayangkan makanan bernilai 70 sen ketika itu pun tidak mampu dibeli. Biarlah malam ini saya merasa pula.


Selesai solat, saya kembali ke rumah sewa, tempat tinggal bersama tujuh rakan yang lain, yang masing-masingnya tidak ada di rumah. Tidur untuk menahan lapar, saya pun melabuhkan tubuh di atas lantai ruang tamu, sambil cuba memejamkan mata. Tidur, jalan terbaik menahan lapar kata hati lagi.

Hati memujuk diri sambil sesekali berdoa, agar hari esok akan lebih baik daripada hari ini. Moga ujian ini tidak berpanjangan dan penghapusan dosa dan kesalahan saya selama ini.

Tiba-tiba selang beberapa minit, pintu rumah diketuk bertubi-tubi. "Nah, kami teringat kat Azamin, saja beli nasi goreng lebih," kata jiran, sepasang suami isteri beranak dua kepada saya sambil menghulurkan bungkusan makanan itu.

Setelah rapat menutup pintu, air mata saya tumpah. Terharu yang amat. Rasa kerdilnya diri. Bagaimana Allah telah menyelamatkan saya malam itu...hanya kerana secebis doa dan sedekah yang secubit cuma. Benarlah kata orang dan ahli agama, bersedekahlah, nescaya dirimu diganjar Allah. Jika tidak di dunia, akhirat kelak, saham kita akan bercambah-cambah.

Itu kejadian pertama, lalu muncul pula kisah kedua, antara peristiwa aneh daripada pengalaman hidup saya yang cukup sulit, perit dan sakit. Keperitan dilalui sehingga pernah saya bekerja mencuci kereta, menjadi pelayan di kedai makan, mencuci kasut orang, mengutip hutang seperti 'Ah Long', menjadi pengawal keselamatan dan 'house-keeping' di resort dan aneka kerja untuk meneruskan kehidupan di ibukota.

Pernah dua hari, saya sekadar meneguk air sejuk semata-mata lantaran tiada wang untuk menjamu selera. Ada juga kalangan kawan-kawan yang menawarkan 'kerja', namun saya tolak kerana menjadi 'pusher' dan jual paket-paket ganja, jadi 'bouncer' di kelab malam dan upah 'menarik' kereta mewah adalah kerja-kerja yang mengundang padah.

Saya rela berlapar daripada menempah bahaya dan memalukan ayah bonda. Saya yakin, jika kita mengelak, Allah akan pasti membantu kita.

Seperti kisah, ketika saya bekerja di sebuah syarikat saham di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Pendapatan saya dikira agak boleh tahan jika dicampur dengan kerja lebih masa sehingga subuh hari.

'Tak boleh sembahyang Jumaat!'

Saya bekerja di bahagian 'script processing' dan 'data entry'. Masa itu, masih wujud sijil-sijil saham jenis kepingan kertas yang perlu dikira satu persatu sehingga mencecah ribuan setiap hari.

Suatu hari, ketika saya pulang ke pejabat selepas mengerjakan solat Jumaat kira-kira jam 2.45 petang, seorang pegawai muda menengking saya dengan tidak semena-mena. "Kenapa baru balik? Pergi mana?" jerkahnya. "Sembahyang. Hari inikan Jumaat," saya jelaskan dengan santun.

"Sembahyang banyak lama ka? Kawan-kawan awak pun tak sembahyang, lain kali tak payah pergi sembahyang!" katanya tidak puas hati.

Ya, salah kawan-kawan saya juga yang sebilangannya jika hari Jumaat akan 'solat' di Pertama Kompleks, Bukit Bintang dan mana-mana tempat mereka lazim 'bersidai'.

"Apa?!! Tak payah sembahyang? Tak pa, sekarang juga saya berhenti!!!" kata saya melawan sambil meninggalkan pegawai itu terkebil-kebil sendiri. Kejadian itu disaksikan oleh ramai rakan-rakan saya, yang juga tidak sembahayang.

Pada saya, rezeki milik Allah, dan bekerja mestilah diredhai oleh-Nya. Alhamdullilah, saya menganggur hanya seminggu sahaja, apabila seorang "Remiser" mengambil saya berkerja sebagai "Asistant" di syarikat yang sama, dan saya berurusan dengan mamat pegawai ini dalam suasana yang berbeza - bukan di bawah telunjukknya lagi.

Kembali kepada kisah ajaib yang berlaku kepada saya. Tetapi, bagi Tuhan yang Maha Kuasa ianya, tidak mustahil boleh berlaku kepada sesiapa yang Dia mahu. Yang pasti, pintalah.

Suatu malam, saya sudah tenggelam punca. Maklumlah wang saya sudah habis. Bukan sebab berfoya-foya, membeli itu ini sesuka rasa tetapi gaji yang diterima cukup-cukup makan saja. Lebih parah, esok untuk ke tempat kerja, tambang bas pun tidak ada.

Untuk meminjam, saya sudah tidak sanggup menebalkan muka. Saya hamparkan sejadah, solat sunat dua rakaat. Inilah antara pesan yang ditinggalkan oleh ibu yang tercinta dan arwah guru saya. "Jika kau susah sangat, solatlah dua rakaat dan pintalah pada Allah apa yang dihajat," ingat mereka kepada saya.

Teresak-esak saya menangis. Tak tahu nak dikatakan apa lagi. Malu pada Tuhan yang amat. Ada kala saya tidak mensyukuri nikmat. Saya tidak tahu kemana lagi hendak dituju. Untuk bergantung kepada manusia, saya sudah tidak mampu. Aib dan cukup-cukup malu!

Bak kata seorang sahabat Nabi tentang kemiskinan yang dilaluinya... "Jikalau aku diam, aku akan lapar, jika aku bersuara untuk berhutang, aku menambahkan malu di muka." Ya, begitulah juga dengan saya.. hanya pada Allah saya berharap.

Seusai bermunajat, ambil sebuah Quran kecil milik saya untuk membasahkan lidah dengan surah-surah kalimah Allah buat menenang jiwa yang resah. Tatkala membuka helaian demi helaian Quran itu, tiba-tiba terselit sekeping wang RM50.00 di situ.

Berjurai air mata saya, lantaran kesyukuran kerana Allah membantu saya dengan cara yang tidak disangka-sangka...

Ini bukan kisah rekaan, malah saya percaya Allah juga pernah dan telah membantu manusia-manusia di luar sana hatta pembaca dengan jalan penyelesaian yang tidak diduga. Ada dengan cara fitrah manusia, ada dengan cara logik akal, ada yang lambat, ada yang cepat dan ada yang tidak dijangka-dijangka dan mustahil diterima waras manusia.. itulah Allah, yang amat menyayangi hamba-Nya.

Yakinilah bantuan Allah SWT, sangka baiklah dengan Allah SWT, nescaya Allah SWT bersama hamba-Nya yang bersangka baik dan taat pada-Nya.

Seperti sebuah hadis Qudsi ertinya: Allah menyebut: "Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu."

Isteri menangis, anak tersenyum sehingga lena

Sekitar tahun 2002, Allah juga pernah 'menyelamatkan' saya pada suatu malam ketika benar-benar kesempitan wang. Malam itu, susu anak sulung saya habis. Berdebar jantung lantaran, hanya kepingan-kepingan syiling saja yang tinggal. Saya dan isteri juga, tidak menjamah walau secebis makanan.

Tiba saat yang cukup perit dan payah untuk dihadapi tatkala, si comel saya merapati ibunya, minta dibuatkan susu. Ketika itu isteri saya sudah tidak sanggup melihat keadaan itu. Saya dengan hati yang luluh, lantas mencapai botol susu lalu menuangkan air suam ke dalamnya.

Anak sulung saya, berkerut kehairanan kerana botol susu itu tidak berwarna, tetapi berkaca sama seperti air mata ayah dan ibunya. Namun tanpa banyak rengekkan, dia capai lalu menghisap botol tersebut.

Beberapa saat kemudian, dia berhenti lantas memandang saya... Bimbang benar jika dia menjerit dan menangis malam itu kerana tidak dapat meminum susu. Alangkah aibnya saya, jika jiran semua tahu letak duduknya keadaan saya, sehingga anak menjerit kelaparan.

Isteri saya juga panik, dan pucat kesi wajahnya menantikan reaksi si sulung seterusnya. Saya bersabar menunggu detik itu... Sambil memegang botol susu, anak sulung saya merenung wajah kami berdua seraya berkata : "Mmm...sedap.." Dan dia mengukirkan senyuman paling manis di wajahnya dan sudah cukup untuk 'mencarik-carikkan' nurani saya.

Aduhai, sebak terasa di dada. Isteri saya sudah tidak dapat menahan sedih, menangis semahu-mahunya. Si sulung kembali menyusu air suam sehinggalah terlena..

Sebenarnya, ujian-ujian yang Allah berikan ini sama ada kepada saya atau yang lain, adalah untuk menguatkan jiwa, iman dan keteguhan manusia menghadapi cabaran getir dan mengukuhkan lagi kebergantungan kepada-Nya.

Ketika menghadapinya terasa cukup sakit namun setelah berjaya melintasinya, ianya cukup nikmat. Pengalaman pahit umpama 'universiti terbaik' hidup kita selama ini. Dan setiap ujian yang diberikan, adalah sesuai dengan kemampuan seseorang.

Masalah-masalah saya, tidak diberikan dan berbeza kepada orang lain kerana khuatir mereka tidak dapat menanggungnya. Begitu juga masalah mereka, tidak diberikan kepada saya, khuatir saya hilang punca dan tidak upaya menahan bebannya.

Dan ujian Allah adalah berdasarkan kemampuan manusia seperti firmannya: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannyaa33;" (Al-Baqarah: 286)

Begitulah Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasihani. Adakala hidup ini dilalui dengan pelbagai himpitan, masalah, ujian namun kita tidak keseorangan dalam menghadapinya. Allah itu kan ada, mendengar rintihan kita.

Jika anda rasa, anda susah betapa ramai lagi yang tak pernah kenal erti apa itu lampu, pendingin hawa atau makanan enak menjilat rasa. Atau sekadar menjamah pucuk-pucuk paku di belakang rumah atau sayur ulaman di kaki longkang.

Baju lusuh bertukar warna, menjadi teman di Hari Raya. Mereka lebih derita dan lara.

Jikalau anda rasa hebat, sebenarnya ramailah lagi, jauh lebih hebat daripada anda. Esok anda hebat, lusa mungkin anda merempat. Belum tahu, justeru pintalah pada yang Esa agar perjalanan hidup anda sentiasa direstu dan dilindungi selalu.

Terus- terang saya katakan, di sebalik cabaran, dugaan dan asakan yang mendatang, adakalanya saya juga 'frust' dan tewas. Kecewa umpama 'mati' sebelum mati. Api juang adakala naik menjulang namun lazimnya padam dan kecundang.

Di sebalik tulis-tulisan saya dan rintangan yang dihadapi, mahu sahaja saya berhenti daripada mencebis kata-kata namun surat-surat pembaca dan puluhan email yang saya terima, 'menghidupkan' saya semula.

Semua ini dengan hidayah dan kekuatan yang tuhan berikan. Kata seorang tua kepada saya, sebanyak mana orang menyukai kita, mungkin sebanyak itulah orang membenci kita. Justeru janganlah kita mendabik dada, kerana dunia ini pinjaman semata-mata.

Ada pembaca yang menceriakan saya, ada yang lebih susah hidupnya dan lebih hebat pengorbanannya malah tidak kurang juga yang menegur dan mengkritik saya. Sesungguhnya, pandangan, dan teguran pembaca dan cerita-cerita mereka, menyuntik semangat di dada yang adakalanya kecundang secara tiba-tiba.

Syukur kepada Allah, memberi kekuatan kepada saya dan terima kasih kepada pembaca, peminat dan pengkritik yang telah menyedarkan lena dan duka saya yang panjang...
"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata "innalillahi wa inna ilaihi raji'un" (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali)." (Al-Baqarah: 155-156).

www.iluvislam.com
Oleh: Azamin Amin
Editor: deynarashid

Pertama kali aku baca cerita ni, air mata aku mengalir walaupun aku manusia yang susah menangis. Terharu sangat sebab melihat bagaimana melihat manusia yang meletakkan pengharapan pada Allah dalam menghadapi hidupnya. Allah juga menguji manusia mengikut kemampuan hambanya. Lihatlah , bagaimana Allah mengatur kehidupan hambanya, menunjukkan jalan yang lurus dan mempermudah kesusahan bagi hamba yang mengingatinya.

Thursday, February 18, 2010

Tun Razak: Jalannya bertongkat, jasanya tiang negara

BAGI generasi lama di kampung-kampung tradisional tepi Sungai Pahang antara Jerantut dan Temerloh, perjalanan dengan bot ke dua buah bandar itu memakan masa yang lama, suatu ketika dulu. Ia adalah kenangan yang tidak dilupai.

Ketika itu hanya kereta api dan bot menjadi alat pengangkutan yang membolehkan penduduk kampung pergi ke bandar untuk segala urusan. Pagi-pagi lagi mereka menunggu bot di jamban (rakit) bagi perjalanan pergi dan dengan bot yang sama, mereka pulang lewat petang. Banyak masa dihabiskan dalam perjalanan.

Begitu juga perjalanan dengan kereta api. Hanya ada satu perkhidmatan dari utara pada waktu pagi dan satu lagi pada waktu petang untuk pergi ke Mentakab. Terdapat hanya satu perkhidmatan pada lewat petang dari selatan ke Jerantut.

Bayangkan jika ada kes-kes kemalangan yang memerlukan rawatan segera, kebiasaannya pesakit menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat ke hospital.

Pada hari ini, penduduk antara Temerloh dan Jerantut boleh ke bandar pada bila-bila masa melalui jalan raya yang siap dibina pada awal 1960-an. Para pelajar sekolah menengah berulang-alik dengan bas dari kampung. Dulu mereka terpaksa tinggal di asrama atau menyewa rumah di bandar.

Generasi lama masih ingat bahawa jalan Temerloh-Jerantut itu dibina atas arahan Tun Abdul Razak semasa Allahyarham menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Ketika itu, penduduk kampung-kampung tradisional itu juga menggunakan Sungai Pahang untuk minum, mandi dan lain-lain keperluan. Di sungai itulah juga mereka melepaskan 'hajat besar' tanpa memikirkan kesan kesihatan kepada penduduk di hilir.

Kini air paip (pili) dan bekalan elektrik disalurkan ke semua kampung. Mereka juga tidak lagi terpaksa berlari ke sungai untuk melepaskan 'hajat besar'.

Jalan-jalan tanah merah yang berdebu pada musim panas dan lecah pada musim hujan juga sudah digantikan dengan jalan tar yang setiap kali Hari Raya Puasa akan membawa pulang anak-anak kampung yang merantau jauh. Berderet kereta di depan rumah ibu bapa kerana anak-anak mereka kini hidup lebih selesa hasil pendidikan yang memberikan peluang kepada mereka untuk maju dalam kehidupan.

Mereka yang tidak berjaya dalam pelajaran boleh menyertai rancangan Felda. Sewaktu rancangan-rancangan Felda mula dibuka dulu, para peserta tinggal di rumah kayu kecil berukuran 12 x 12 meter. Kini tiada lagi rumah-rumah kayu kecil di rancangan-rancangan Felda, yang banyak kelihatan adalah banglo konkrit.

Perkhidmatan kesihatan untuk penduduk luar bandar juga merubah kehidupan. Tiada lagi kanak-kanak yang tidak berbaju, berkudis betis dan berhingus yang berlejeh hingga ke bibir. Jururawat desa yang terlatih mengambil alih peranan bidan kampung.

Senario perubahan yang berlaku bukan sahaja terhad di sekitar negeri Pahang, tetapi akhirnya menyeluruh hingga ke Sabah dan Sarawak.

Segalanya hasil idea dan perancangan teliti Tun Abdul Razak Datuk Hussain, Perdana Menteri kedua yang dilahirkan di Pekan, Pahang. Memang tepat Allahyarham diberi gelaran Bapa Pembangunan Malaysia. Apa jua kemajuan fizikal yang rakyat Malaysia nikmati pada hari ini kebanyakannya adalah hasil buah fikiran dan dedikasi kerja Allahyarham.

Beliau meletakkan banyak asas yang telah memudahkan kerja pemimpin-pemimpin selepasnya. Kerangka dasar yang diasaskannya bukan sahaja berkisar kepada pembangunan fizikal, tetapi bersifat sangat holistik meliputi bidang politik dan dasar luar, selain sosio-ekonomi dan pendidikan. Sebahagian besar dasar-dasar tersebut berkesinambungan hingga ke hari ini.

Bagi generasi yang lahir sebelum 1960-an, wajah seorang pemimpin yang bertongkat dan sering melawat kampung walaupun ketika beliau sudah kurang sihat kerana penyakit leukemia, menjadi kenangan yang abadi seiring dengan jasa-jasanya untuk membangunkan negara Malaysia.

Razak dengan tongkat yang tidak pernah lepas dari tangannya menemui rakyat di seluruh ceruk untuk memastikan pembangunan dirancang sampai kepada mereka. Tanpa jemu, beliau tidak pernah lari daripada fokus utamanya membasmi kemiskinan, kejahilan dan meningkatkan taraf kesihatan terutama di kalangan penduduk luar bandar.

Walaupun namanya lebih sinonim dengan pembangunan, namun peranan beliau dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama juga cukup besar.

Beliau meletakkan asas perpaduan kaum melalui Penyata Razak (1956) untuk memenuhi harapan sebilangan besar rakyat bagi membentuk bangsa merdeka beridentitikan Malaya dan membentuk Dasar Pelajaran Kebangsaan yang diterima seluruh rakyat. Dasar itu perlu bagi memenuhi hasrat meningkatkan pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik sebagai suatu bangsa dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa mengetepikan pertumbuhan bahasa dan kebudayaan kaum lain.

Penyata Razak 1956 adalah polisi yang radikal dalam usaha membawa perubahan besar bagi sekolah dengan matlamat utama untuk menyatupadukan rakyat. Antara perkara dalam penyata itu mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dengan bahasa Melayu sebagai pengantar dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) yang menggunakan Kuo-Yu, Tamil dan Inggeris sebagai pengantarnya.

Namun, bahasa Melayu buat pertama kali diajar di semua SRJK. Ini proses untuk mendaulatkannya sebagai bahasa kebangsaan. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ia menetapkan kandungan pelajaran sama di semua peringkat sekolah untuk menyemai semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid pelbagai kaum. Semangat inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga membangunkan negara.

Beliau sampai ke puncak karier politiknya apabila mengambil alih pemerintahan negara dalam keadaan darurat, menjadi Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran), menggantung Parlimen, mengharamkan perbincangan isu sensitif dan menerapkan kesetiaan rakyat melalui Rukun Negara.

Beliau mengambil tanggungjawab memulihkan semangat dan keyakinan bangsa yang pudar akibat tragedi 13 Mei 1969 dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), mengembalikan demokrasi berparlimen dan menambah bilangan ahli parti dan menjana perpaduan untuk membentuk ketahanan nasional serta kestabilan politik melalui penubuhan Barisan Nasional (BN).

Sayangnya perkhidmatan Tun Razak tidak berpanjangan apabila penyakit leukemianya bertambah tenat. Allahyarham meninggal dunia ketika sedang dirawat di London pada 14 Januari 1976.

Bagaimanapun dalam tempoh yang singkat kira-kira lima tahun sebagai Perdana Menteri kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra pada 22 September 1971, beliau telah meninggalkan jasa yang terlalu banyak untuk dihitung. Di bawah kepemimpinan Tun Razak, negara bukan saja memperlihatkan dasar ekonomi dan sosial yang radikal dengan memperkenalkan DEB, bahkan dasar luar negara juga semakin progresif, keluar daripada bayangan pro-Barat, bebas serta berkecuali.

Dalam menangani ancaman komunis, Tun Razak melangkah kaki ke China sebagai pemimpin Asia Tenggara pertama merintis hubungan diplomatik dengan negara komunis itu pada Mei 1974. Ketika itu masih tidak banyak negara demokrasi yang menjalin hubungan diplomatik dengan China yang dicurigai oleh Barat dan sekutu-sekutunya.

Langkah Tun Razak itu membuatkan para pemimpin China berasa amat terhutang budi kepada Malaysia hingga ke hari ini. Ia bukan sahaja memudahkan pasukan keselamatan Malaysia memerangi dan akhirnya menamatkan ancaman keganasan Parti Komunis Malaya (PKM), malah memberikan impak besar kepada negara di bidang ekonomi.

Komoditi utama Malaysia, minyak kelapa sawit yang dijadikan tanaman utama negara bermula dari zaman Tun Razak, hari ini sebahagian besarnya dieksport ke China, negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia.

Tun Razak dengan kebijaksanaan diplomasi dan dasar luar negaranya juga telah menjadikan suara Malaysia didengari kuasa besar dunia hingga ke persada antarabangsa. Terlalu banyak boleh diperkatakan mengenai jasa Tun Razak terhadap pembangunan ekonomi, politik dan sosial negara. Hakikatnya, segala nikmat kemajuan dikecapi hari ini adalah hasil denyutan pembangunan yang dirintis oleh beliau.

Tanpa usaha membangunkan kawasan luar bandar, infrastruktur, badan-badan yang diberi mandat memacu pembangunan seperti Felda, Felcra, Pertubuhan Peladang, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), DEB, Perbadanan Nasional (Pernas), Penerbangan Malaysia (MAS), Petronas, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Institut Teknologi Mara (ITM), Bank Bumiputera, Mageran dan Rukun Negara, maka tidak akan ada kekuatan ilmu dan profesionalisme yang dapat menegakkan perpaduan, kestabilan, keyakinan diri dan daya saing yang mampu membina maruah negara.

Kita mungkin sudah kehilangan Tun Razak, tetapi percayalah beliau tidak pernah jauh meninggalkan kita kerana semangat juang negarawan ulung ini tidak pernah padam.

Dipetik dari Utusan Malaysia 19Feb 2010


* Al- fatihah untuk Tun....Antara pemimpin Melayu Islam yg aku kagum adalah Tun Abdul Razak... Lihatlah sumbangannya kpd negara... tak terhitung jasa beliau pada nusa & bangsa.. Lahirnya manusia yg begini adalah 1 anugerah dari Allah untuk bangsa Melayu & rakyat Malaysia... Benarlah kata pepatah Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama... ada 1 persamaan aku dengan Tun... Kita org sama2 lahir kat Pekan, Pahang... Tun lahir kat Pulau Keladi, Pekan... Aku???? lahir kat Kg Marhum, Pekan...

* Blog aku ni khas aku buat untuk cerita manusia yang berjuang dan berjaya dalam hidupnya, kisah perjuangan, kisah kehidupan dan mcm2 cerita/ artikel YANG MENARIK PERHATIAN AKU... bukan POLITIK..

* Terima kasih TUN sekali lagi...